SHAH ALAM – Kegiatan dua pencuri tabung penapis ekzos (Catalytic Converters) bagi mendapatkan bahan logam bernilai tinggi sejak setahun lalu tumpas selepas diberkas, semalam.
Penangkapan kedua-dua mereka yang merupakan pekerja alat kedai ganti dan pengumpul barang alat ganti ekzos dilakukan bermula pukul 9.30 pagi sekitar Petaling Jaya dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara bahan bernilai tinggi adalah rhodium, paladium dan platinum yang masing-masing boleh mencecah harga antara RM130 hingga RM300 pergram.
Katanya, bahan-bahan itu diekstrakkan untuk keperluan industri elektronik, pergigian dan perubatan.
Difahamkan, rhodium adalah logam yang tinggi nilainya dan berat yang sama boleh membuatkan harganya berkali ganda mahal berbanding emas.
“Mereka ini dikatakan mengumpul tabung penapis ekzos itu sebelum dijual kepada sindiket lain sebelum dieksport ke Jepun dan Amerika Syarikat.
“Anggaran komponen ini boleh mencecah antara RM500 hingga RM2,500 bagi setiap satu unit di pasaran luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Menurut beliau, pihaknya masih melakukan siasatan sama ada kumpulan ini mempunyai teknologi pengesktrakan dalam negara atau dieksport tabung ekzos begitu sahaja.
Hussein menjelaskan modus operandi suspek adalah mencuri tabung-tabung penapis ekzos itu daripada kenderaan yang diletakkan di tempat awam termasuk kawasan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Kerja-kerja mencuri pula adalah dalam tempoh antara 10 hingga 15 minit dengan menggunakan kelengkapan termasuk jek kereta.
“Antara model sasaran dua suspek ini termasuk Honda, Hyundai, Toyota, Lexus, Kia dan Mercedes serta Volvo dengan dijual antara RM300 hingga RM600.
“Kedua-dua mereka mencurinya kerana ada pembeli dan mahu mendapatkan wang segera. Jadi, kita tidak menolak kemungkinan mereka ada berhutang dengan ah long,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya memandang serius kes itu ekoran terdapat 96 kes dalam tempoh 2021 hingga Jun tahun ini.
“Hasil tangkapan itu berjaya merampas 45 batang tabung penapis ekzos bernilai RM30,000 bersama kelengkapan jenayah.
“Polis juga berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian komponen ekzos sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Hussein menjelaskan kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan. -KOSMO!ONLINE