STESEN penyiaran SBS menerima kecaman selepas persembahan kumpulan Red Velvet sempena penganjuran Festival Konsert K-pop Gangnam 2020 tidak disiarkan dalam televisyen baru-baru ini.
Konsert berkenaan awalnya dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober lalu dan disiarkan secara maya.
Selain Red Velvet, persembahan turut menampilkan ramai artis popular lain seperti Kang Daniel, ASTRO, Oh My Girl dan AB6IX, seperti memetik laporan Naver.
Red Velvet merupakan artis terakhir yang membuat persembahan pada konsert tersebut dengan menyampaikan lagu hit mereka seperti Pyscho, Bad Boy dan Umpah Umpah.
SBS kemudian menayangkan konsert berkenaan dalam siaran televisyen pada 1 November lalu. Bagaimanapun, persembahan Red Velvet dipotong.
Hal itu sekali gus menimbulkan kemarahan peminat yang mendakwa SBS sengaja memotong persembahan Red Velvet berikutan kontroversi salah seorang anggotanya, Irene yang menimbulkan
kekecohan baru-baru ini gara-gara bersikap biadap.
Menjelaskan keadaan, wakil SBS menyatakan durasi siaran televisyen tidak cukup untuk menampung durasi sebenar konsert berkenaan yang sangat panjang.
“Keseluruhan persembahan konsert terpaksa dipendekkan ketika proses suntingan kerana durasi sebenar sangat panjang. Kami mohon semua memahami keadaan sebenar,” ulas wakil SBS.