fbpx

K2

Nicol bimbing pengamal media main skuasy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jaguh negara dalam sukan skuasy, Nicol memberi tunjuk ajar kepada salah seorang peserta klinik.

NAMA Datuk Nicol Ann David sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan ratu skuasy itu telah cukup mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Dia yang menubuhkan Nicol David Organisation atau NDO tahun lalu kini boleh berbangga apabila organisasi itu diwujudkan bagi melatih dan memperkasa kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam sukan serta pendidikan.

Tidak melupakan media massa yang banyak menyokong kariernya dalam sukan, sebagai menghargai petugas media, Nicol baru-baru ini menganjurkan masterclass skuasy bersama petugas media bertempat di gelanggang skuasy NDO yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ia juga bagi meraikan tahun ketiga bekas atlet itu menjadi duta Malaysia bagi syarikat insurans terkenal, AIA.

Sesi yang dinamakan Klinik Skuasy bersama Nicol David dan juga pasukan kepimpinan AIA Malaysia itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada petugas media untuk beramah mesra bersama

Nicol sambil belajar bermain sukan skuasy peringkat permulaan.

Jelas bintang skuasy kelahiran Pulau Pinang itu, sesi tersebut cukup istimewa memandangkan ia pertama kali diadakan membabitkan organisasinya.

“Sesi permainan skuasy hari ini adalah cukup istimewa kerana selaku duta AIA Malaysia sejak 2020, kali ini, masterclass yang dianjurkan turut disertai pasukan kepimpinan AIA.

“AIA mempunyai matlamat untuk mengajak satu bilion orang untuk bersukan dan selaku duta, saya berharap agar lebih banyak kelas sebegini akan diadakan buat orang ramai,” ujarnya.

Klinik Skuasy bersama Nicol David yang diadakan di gelanggang skuasy NDO, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu turut disertai kepimpinan AIA.

Jelas Nicol lagi, pelantikannya sebagai duta syarikat itu buat tahun ketiga juga adalah cukup bermakna buatnya dan ia menunjukkan sokongan AIA terhadap NDO yang ditubuhkan Nicol.

“Saya teruja apabila AIA memperbaharui kerjasama ini buat kali ketiga sejak 2020. Ini kerana, ia menunjukkan bahawa AIA melihat kerjasama ini sebagai sesuatu yang kukuh. Justeru, dengan sokongan mereka, kami tentunya dapat mengajak lebih ramai lagi orang untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan terlibat dengan sukan,” katanya.

Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan diketuai Nicol dan pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif NDO, Mariana De Reyes.

Selepas itu, Nicol dan De Reyes yang juga merupakan bekas pemain skuasy Colombia turut berkongsi tip dan skil bermain skuasy bersama petugas media.

Kesemua peserta kemudian berpeluang bergambar dan makan tengah hari bersama Nicol.

Biarpun sudah bersara, Nicol terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa selepas dinobatkan Atlet ­Terunggul Sepanjang Zaman Sukan ­Dunia pada 2021.

Nicol mengharungi karier yang cukup cemerlang sepanjang bergelar atlet apabila pernah memegang status pemain No. 1 dunia selama sembilan tahun berturut-turut. Nicol juga atlet hebat apabila berjaya memenangi 81 kejuaraan profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI