MONTREAL, Kanada – Pelumba Red Bull, Max Verstappen meraikan kemenangan keenam dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2023 selepas menakluk Grand Prix (GP) Kanada awal pagi semalam sekali gus menyamai rekod legenda Brazil, Ayrton Senna dengan 41 kemenangan GP.
Litar Gilles Villeneuve, Montreal menjadi saksi selepas Verstappen turut melengkapkan kemenangan GP ke-100 pasukan Red Bull sejurus menamatkan perlumbaan 70 pusingan itu dengan catatan satu jam 33 minit 58.348 saat (s).
Ini merupakan kemenangan kedua Verstappen di Litar Gilles Villeneuve dan kemenangan ke-41 secara keseluruhan, menjadikan dia hanya ketinggalan empat kemenangan berbanding juara dunia Alain Prost (51) dan Sebastian Vettel (53), serta tujuh kali dengan juara dunia, Michael Schumacher (91) dan Hamilton (103) di litar berkenaan.
“Merealisasikan kemenangan ke-100 pasukan di sini adalah luar biasa. Saya tidak pernah mengharapkan angka seperti ini untuk diri saya sendiri.
“Jadi, kami harus terus menikmati kemenangan ini dan akan meneruskan perjuangan terbaik seperti ini. Hari ini adalah hari yang hebat bagi kami secara keseluruhannya,” kata Verstappen.
Pada saingan tersebut, pemandu Aston Martin, Fernando Alonso tampil cemerlang apabila menamatkan saingan di tempat kedua dan Lewis Hamilton (Mercedes) yang bersaing hebat pada awal perlumbaan akur berada di podium tempat ketiga.
Alonso berkata, dia bernasib baik mampu menamatkan perlumbaan tersebut di podium kerana berdepan masalah brek pada akhir perlumbaan.
Sementara itu, pelumba Ferrari, Charles Leclerc sekadar mampu mengakhiri saingan tempat keempat dan rakan sepasukannya Carlos Sainz tempat kelima. – AGENSI