ROTTERDAM – Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic tetap gembira meskipun skuad kendaliannya tewas kepada Sepanyol pada perlawanan akhir Liga Negara-Negara Eropah (NL) di Stadium De Kuip awal pagi semalam.
Naib juara Piala Dunia 2018 itu terpaksa akur dengan kekalahan 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga masa tambahan.
Dalic berkata, mereka masih boleh berbangga meskipun sekadar bergelar naib juara kerana pasukan itu menunjukkan progres cukup baik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
“Kami berjaya memenangi pingat satu demi satu dan ia pencapaian yang sangat baik kepada pasukan. Tiga pingat dalam tempoh beberapa tahun merupakan sesuatu yang sangat positif.
“Memang tidak dinafikan kami kecewa dengan kekalahan ini, namun saya tetap bangga atas prestasi yang ditampilkan semua pemain. Saya percaya ia akan jadi pembakar semangat kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Dalic turut mengharapkan kapten Croatia, Luka Modric akan terus kekal bersama pasukan meskipun ada spekulasi yang mengatakan dia sedia mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa. – AGENSI