PORT DICKSON – Sebuah projek Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di tanah seluas 18.5 hektar di Mukim Pantai, Seremban membabitkan 700 unit rumah berkonsepkan kondominium.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, projek menerusi peruntukan sebanyak RM150 juta itu dijangka akan bermula hujung tahun ini di atas tanah milik kerajaan negeri.
Jelasnya projek PPR itu merupakan yang terbesar di Negeri Sembilan ini akan berkonsepkan kondominium persekitaran hijau dengan harga RM45,000 seunit.
“Ia akan dibina pada hujung tahun ini yang mana saya melihat lokasi ini berpotensi dan cukup luas untuk dibangunkan dan mempunyai ‘green lungs’ semula jadi sebagai kawasan riadah. Pembinaan PPR tersebut hanya 13 kilometer (km) sahaja dari pusat bandar Seremban.
“Saya juga yakin Mukim Pantai bukanlah satu-satunya lokasi PPR yang dijanjikan oleh kerajaan Negeri Sembilan, kalau ada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan datang lagi.
“Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah keakraban dan kemesraan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menguntungkan rakyat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung) di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE