fbpx

Elaun latihan industri, cari jalan menang-menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AGAK hangat beberapa hari ini mengenai isu elaun untuk mahasiswa yang menjalani tempoh praktikal di syarikat swasta atau agensi kerajaan.

Ada yang menyebut latihan industri, malah agak popular menggunakan istilah intern iaitu ringkasan internship.

Kosmo! sendiri sebelum ini telah membangkitkan isu berkenaan apabila menerima aduan mengenai terdapat sebilangan pelajar yang diterima menjalani latihan industri tetapi sebaliknya menjadi ‘buruh percuma’ kepada syarikat khususnya yang berkait dengan bidang pemasaran, jualan dan beberapa bidang teknikal.

Mereka ini ada yang dikerah bekerja selama 10 hingga 12 jam bekerja tanpa sebarang elaun, baik upah atau komisen.

Malah, sebilangan syarikat sememangnya menunggu-nunggu kedatangan pelajar latihan industri ini sehinggakan banyak yang menawarkan secara terbuka di portal-portal mencari pekerjaan mengenai kekosongan bagi golongan berkenaan.

Suatu yang perlu disedari, pelajar latihan industri ini tidak tertakluk kepada Akta Kerja 1955 menyebabkan mereka tidak tertakluk kepada sebarang peraturan yang diwajibkan ke atas majikan seperti gaji minimum RM1,500, hak mendapat cuti, hak untuk mendapat hari rehat, elaun kerja lebih masa dan sebagainya.

Keadaan itu menyebabkan ada sebilangan syarikat mengambil kesempatan menjadikan pelajar berkenaan sebagai buruh percuma bagi tempoh tiga hingga enam bulan atas alasan mereka telah menyediakan tempat untuk pelajar terbabit menjalani latihan.

Tidak dinafikan bagi sesetengah majikan, tanpa pelajar latihan industri operasi syarikat tetap berjalan dengan lancar. Malah, ada keadaan kehadiran mereka merumitkan pengurusan termasuk kekurangan ruang di tempat kerja dan tiada kerja yang sesuai untuk diberikan.

Sebilangan berpendapat, pelajar latihan industri tidak wajar membangkitkan isu upah, elaun atau imbuhan kerana mereka sepatutnya bersyukur diberikan peluang menjalani latihan bagi membolehkan lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar selepas bergelar graduan kelak.

Namun hakikat hari ini, bukan semua pelajar terbabit datang daripada keluarga berkemampuan untuk kos tambahan bagi menyewa rumah atau bilik ditambah dengan kos perjalanan dan makan minum yang berbeza berbanding dengan kehidupan sebagai pelajar di kampus.

Kerajaan pada masa sama wajar mengkaji semula Akta Kerja 1955 dalam usaha mencapai matlamat menang-menang bagi melindungi kebajikan golongan pelajar latihan industri termasuk insurans perlindungan diri jika berlaku kejadian tidak diingini.

Isu ini tidaklah rumit, cuma yang penting jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan ke atas ‘buruh-buruh percuma’ ini yang bakal mengisi kepimpinan negara dan mengetuai syarikat-syarikat suatu hari kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI