SUNGAI BULOH – Seorang pelajar perempuan terpaksa menahan kesakitan 30 minit selepas kakinya tersangkut di celah besi dan konkrit sewaktu menjalankan aktiviti sukan di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bomba serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba pada pukul 11.00 pagi.
“Setibanya di lokasi mendapati seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun telah tersangkut kakinya pada longkang dan komander operasi mengarahkan anggota bertugas mengalihkan penghadang besi bagi membolehkan kaki mangsa dikeluarkan.
“Tindakan anggota berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa yang tersangkut di longkang konkrit saluran air di tepi padang sekolah dan kedalaman 1 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ehsan, kejadian berlaku semasa mangsa melakukan aktiviti sukan di sekolah dan secara tidak langsung telah tergelincir dan masuk dicelah antara besi dan konkrit.
“Bagaimanapun mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.