PETALING JAYA – Luluh hati melihat penderitaan yang ditanggung seorang kanak-kanak yang menderita penyakit jarang dijumpai, pelakon popular Anzalna Nasir mengambil inisiatif mengumpulkan sejumlah dana bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.
Kanak-kanak terbabit, Mas Muhammad Luth, empat tahun, disahkan menderita penyakit dikenali sebagai high grade glioma peringkat empat awal tahun, juga merupakan antara penyakit paling jarang dijumpai di dunia.
“Hati siapa yang tidak luluh apabila melihat kanak-kanak yanh ceria tiba-tiba jatuh sakit. Paling menghibakan apabila penyakit tersebut jarang dijumpai dan amat sukar untuk diberikan rawatan.
“Saya memang sudah mengenali Luth sejak dari kecil lagi. Dia pun lebih kurang usia anak saya dan pastinya apa yang berlaku membuatkan saya terpanggil untuk mencari dana membantu dia mendapatkan rawatan sewajarnya untuk kembali pulih,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu kepada Luth yang mahu dikenali sebagai Hazirah merupakan kenalan rapatnya. Apa yang menimpa wanita berkenaan begitu merenggut emosinya memandangkan dia juga merupakan ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata.
Tentunya dugaan yang menimpa dirinya, membuatkan sesiapa sahaja akan terasa hati memandangkan beban yang ditanggung ketika ini amat berat.
Penyakit high grade glioma merupakan sejenis tumor yang ‘hinggap’ di kepala secara agresif dan perlu dirawat dengan segera. Sejak didiagnos pada 31 Januari lalu, Luth sudah menjalani pembedahan bagi membuang bahagian tersebut.
“Memang dia sudah menjalani pembedahan dan rawatan susulan termasuklah radioterapi dan kemoterapi. Namun keputusan ujian MRI baru-baru ini menunjukkan keputusan yang kurang memberangsangkan.
“Paling menyedihkan apabila doktor memaklumkan bawasanya kes yang berlaku kepada Luth amat jarang berlaku dalam dunia terhadap kanak-kanak.
“Hanya 10 peratus sahaja mampu bertahan dan peluang untuk hidup hanya satu tahun sekiranya tidak mendapat rawatan,” katanya yang berharap dapat mengumpulkan sejumlah dana bagi membawa Luth mendapatkan rawatan di luar negara.
Terkini keadaan, Luth semakin lemah dan perlu segera dibawa mendapatkan rawatan pakar di United Kingdom (UK) memandangkan doktor di sana yang mempunyai kepakaran mengendalikan penyakit sebegitu.
“Ibunya sendiri sudah mengeluarkan segala simpanan yang ada bagi mengumpulkan dana namun masih belum mencukupi. Jadi saya minta jasa baik semua pihak untuk membantu meringankan beban mereka.
“Dengan rendah hati dan keprihatinan rakyat Malaysia, saya yakin kita mampu mengumpulkan dana yang diperlukan. Hari ini mungkin mereka diuji, dugaan untuk kita belum tentu lagi. Semoga usaha kecil kita semua mampu menyelamatkan nyawa Luth,” katanya lagi.
Orang ramai yang berhasrat untuk turut menjayakan usaha murni Anzalna boleh sama-sama menghulurkan sumbangan secara terus melalui https://bantuan.hollow-web.com. – HIBGLAM