KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mana-mana pemimpin atau badan eksekutif adalah dibuat secara profesional tanpa melibatkan campur tangan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana SPRM hanya bertindak berdasarkan laporan yang diterima mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Kaedah siasatan SPRM itu cukup jelas, ada laporan maka ada siasatan dibuat.
“Arahan saya selaku Perdana Menteri adalah supaya badan penyiasat sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara harus menjalankan tindakan secara profesional ‘without fear or favour’,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengenai mekanisme yang digunakan SPRM bahawa setiap siasatan tidak dipengaruhi kuasa politik.
Anwar berkata, mana-mana pihak yang disiasat tidak perlu mempersoalkan tindakan SPRM dan boleh mengemukakan bukti sekiranya terdapat campur tangan politik.
“Lihat kepada fakta. Kalau semasa memegang kuasa kita memberikan kontrak kepada anak beranak dan kroni selain memperkayakan diri. Jangan persoalkan kenapa SPRM siasat dan anggap ini tohmahan poltik.
“Sepatutnya kita sebagai Ahli Dewan yang bertanggungjawab mengambil sikap positif menyelamatkan negara ini daripada rasuah yang berleluasa.
“Kalau ada tohmahan, bukti yang mana SPRM, LHDN atau mana mana badan yang bertindak atas arahan poltik, itu boleh kemukakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan bertindak tegas supaya gejala rasuah dalam negara dihapuskan. – KOSMO! ONLINE