KUALA LANGAT – Kementerian Pendidikan sentiasa terbuka bertemu mana-mana pihak berkepentingan bagi memajukan sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan sesiapa asalkan perkara tersebut berkait rapat dengan bidang pendidikan.
“Saya boleh berjumpa dengan semua orang tidak ada masalah. Selagi mereka adalah pemegang taruh (bidang pendidikan) saya boleh jumpa,”katanya.kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Perpaduan Madani dan Pengumuman Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat Sebagai 10 Sekolah Terbaik Dunia 2023 di sini hari ini.
Kosmo semalam melaporkan pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan bagi perkongsian idea mengenai pendidikan awal atau tadika.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, segala pandangan dan cadangan daripada pihak berkepentingan boleh dibincangkan dari masa ke semasa.-KOSMO! ONLINE