fbpx

Hari wukuf ditetapkan 27 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saleh (kiri) mendengar penerangan petugas haji ketika melakukan tinjauan khemah jemaah di Arafah baru-baru ini.

MEKAH – Hari wukuf di Arafah telah ditetapkan pada 27 Jun depan selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan tarikh 1 Zulhijjah jatuh pada hari ini (Isnin).

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Aidiladha pula akan disambut pada keesokan harinya dan pihaknya telah melipat gandakan persiapan operasi Masyair yang mana ia telah tersedia pada tahap 80 peratus ketika ini.

Katanya, hampir tiga juta jemaah akan berkumpul di Arafah sebagai kemuncak haji pada tahun ini dan pihak Masyariq telah mendirikan khemah baharu yang lebih canggih dan mempunyai teknologi penolakan haba di Arafah untuk keselesaan jemaah Malaysia.

“Sebanyak 278 buah khemah di Arafah dan Mina yang boleh memuatkan antara 180 hingga 300 jemaah telah didirikan di dua lokasi tersebut.

“Selain itu, dapur baharu yang lebih tahan lama dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk memastikan makanan lebih bersih serta selamat juga dibina pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Syed Saleh memberitahu, bungkusan makanan ready-to-eat yang dibawa khas dari Malaysia juga akan diedarkan sebanyak tujuh kali sehari berbanding lima pada tahun lepas kepada jemaah.

Dalam pada itu, ketika menjelaskan mengenai perkembangan operasi haji Malaysia, Syed Saleh memberitahu, seramai 29,212 jemaah telah sampai di Mekah dengan menaiki 95 penerbangan.

Tambahnya, cuaca minimum dan maksimum di Mekah masing-masing dicatatkan pada tahap 28 serta 46 darjah Celsius.

“Seramai 64 jemaah telah dimasukkan di wad dengan 56 di pusat rawatan Tabung Haji manakala lapan lagi di hospital Arab Saudi. Kesemua pesakit stabil dan petugas perubatan melawat mereka sebanyak dua kali sehari,” katanya.

Ujar Syed Saleh, kebanyakan pesakit mengalami jangkitan paru-paru, sendi, tulang, otot, sistem pencernaan, jantung dan kulit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI