KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sr Dr. Wan Junaidi Wan Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 hari ini.
Wan Junaidi dimasyhurkan sebagai Speaker Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat penggal perkhidmatan pada 16 Jun lalu.
Selain itu, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.
Beliau dipilih selepas menerima 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan tersebut bagi menggantikan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Pencalonan Ketua UMNO Bahagian Pulai itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut dicalonkan untuk jawatan terbabit, Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dominic Lau.
Bagaimanapun, Razali tewas merebut jawatan tersebut selepas hanya menerima sebanyak 11 undi. – KOSMO! ONLINE