PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengesahkan nombor plat yang digunakan pada sebuah kenderaan jenis McLaren adalah bukan nombor sebenar.
Menurut JPJ, pemilik berdaftar nombor plat dan kenderaan berkenaan merupakan pihak yang berbeza.
Justeru, katanya, pemilik kereta tersebut dinasihatkan membuat laporan polis susulan gambar kenderaannya tular di media sosial membabitkan seorang suami artis popular.
“Adalah menjadi kesalahan untuk mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan berkenaan mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya, hari ini.
Terdahulu, suami kepada seorang pelakon menerima kecaman hebat ekoran didakwa menghina kenderaan bukan ‘supercar’ pada sebuah acara pertunjukan kereta di ibu negara.
Dalam pada itu, suami pelakon terbabit terus dilanda kontroversi apabila ada pihak mempersoalkan pemilik sebenar kenderaan McLaren yang ditunjukkannya baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE