KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang menyebarkan berita tidak sahih, berbaur fitnah dan bersifat 3R (bangsa, agama dan raja) di media sosial.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, penyebaran berita sebegini boleh mewujudkan kekeliruan serta mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.
“Kita perlu ingat, jika penyebaran berita palsu tidak ditangani, maklumat yang tidak benar serta bahan-bahan berbaur fitnah yang tersebar boleh menganggu gugat kestabilan serta keselamatan negara.
“Dalam konteks penyebaran maklumat, media arus perdana bukan sahaja berperanan melaporkan berita yang sahih dan tepat, tetapi juga melindungi rakyat daripada berita palsu dan bahan fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi Digital dan Perhubungan Jom Digital @ Lembah Pantai di Perumahan Pantai Permai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut mengingatkan agar masyarakat sentiasa berhati-hati ketika berkongsi maklumat yang tular di media sosial.
“Sebelum kongsi, buat semakan dan pastikan maklumat tersebut sahih. Jangan buat sebarang sebaran yang menyentuh isu 3R.
“Baru-baru ini, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap beberapa individu yang membuat posting di media sosial yang didakwa bersifat 3R,” katanya.
Tegas Fahmi, tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa bersifat pilih kasih. – KOSMO! ONLINE