IPOH – Polis menahan seorang anggota polis berpangkat konstabel bagi membantu siasatan cubaan merogol remaja perempuan berusia 19 tahun, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian sekitar pukul 2.30 pagi itu berlaku di tandas sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak.
Katanya, suspek berusia 23 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah itu ditangkap susulan laporan polis dibuat mangsa.
“Suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Khamis depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan merogol.
“Pihak polis memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga PDRM dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku,” katanya, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE