fbpx

Luahan Pembaca: Jadual periksa lambat, mahasiswa Sabah dan Sarawak beli tiket mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARGA tiket kapal terbang makin mahal sekiranya ia dibeli pada saat-saat akhir. – GAMBAR HIASAN

Saudara pengarang,

Menjelang peperiksaan akhir, pelajar universiti sudah tidak sabar untuk menikmati cuti semester apalagi bagi mahasiswa Sabah dan Sarawak yang pulang ke kampung enam bulan sekali.

Namun, tidak seindah yang diinginkan apabila harga tiket penerbangan pulang ke kampung mencekik darah. Sebagai mahasiswa dari Sarawak, saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat tentang masalah ini.

Pihak kerajaan dan syarikat penerbangan sering kali dituding jari atau disalahkan akan masalah yang timbul, namun pada pendapat saya, pihak universiti juga perlu memainkan peranan dalam isu ini.

Hal ini kerana jadual peperiksaan akhir semester agak lambat dikeluarkan pihak universiti. Perkara ini memberi kesan kepada mahasiswa Sabah dan Sarawak untuk pulang pada cuti semester kerana terpaksa membeli tiket pada harga tinggi.

Oleh yang demikian, jika pihak universiti mengeluarkan jadual peperiksaan dua atau tiga bulan awal, maka kami dapat membeli tiket penerbangan lebih awal dengan harga yang lebih rendah.

Perkara ini sangat membantu golongan mahasiswa dalam mengurangkan kos perbelanjaan sekiranya pihak universiti turut memberi pertimbangan akan permasalahan ini.

Isu ini juga kami suarakan kepada pihak pengurusan universiti melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), namun sehingga kini masih belum berlaku perubahan dan kami terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk pembelian tiket penerbangan.

Mahasiswa Sabah dan Sarawak meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak universiti dalam membantu kami menyelesaikan masalah ini.

Nor Fadhilah Kuin
Daro, Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI