PUTRAJAYA – Pihak berkuasa perlu lebih aktif memantau aktiviti di laman Dark Side (DS), seterusnya melakukan sekatan kepada akaun terbabit yang aktif memaparkan bahan pornografi di beberapa aplikasi media sosial termasuk Telegram.
Perkara itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil yang mengakui aktiviti perkongsian bahan lucah menerusi akaun Dark Side semakin membimbangkan berikutan turut melibatkan generasi muda.
Katanya, aplikasi media sosial seperti Telegram dilihat menjadi platform mudah buat kumpulan itu menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran secara online.
“Jika kita lihat, Telegram mula menjadi platform memuaskan nafsu ekoran platform itu bersifat anonymous, sekali gus membolehkan individu terlibat berkongsi video lucah tanpa diketahui identitinya.
“Jadi, ia mudah untuk menjadi medium pemuas nafsu, malah difahamkan mula wujudnya aktiviti pelacuran, yang mana ada pemilik akaun DS sudah berani menawarkan perkhidmatan pelacuran,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! yang mendedahkan ada golongan muda mendapatkan wang secara mudah dengan menawarkan pelbagai video lucah di akaun Dark Side.
Difahamkan, kandungan berunsur seks itu dijual di platform Telegram dan Twitter dengan tawaran harga serendah RM20 hingga RM200 mengikut kualiti tertentu.
Susulan itu, Siraj meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas seperti melakukan sekatan kepada akaun-akaun memaparkan bahan pornografi dan pelacuran di platform terlibat.
“Selain sekatan segera, pihak berkuasa seperti polis dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) juga perlu lebih aktif mengadakan pemantauan berikutan kandungan terbabit sentiasa dikongsikan pengguna media sosial.
“Pada masa sama, MCMC perlu mewujudkan satu platform khas yang lebih jelas bagi membolehkan orang ramai membuat aduan sekiranya terjumpa akaun memaparkan kandungan lucah,” ujarnya.
Berita berkaitan: Jual maruah diri serendah RM20 di akaun Dark Side