fbpx

Kastam tumpaskan kegiatan seludup rokok putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian rokok putih yang disembunyikan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor dan dirampas JKDM pada 26 Oktober lalu.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan satu cubaan menyeludup rokok putih yang disembunyikan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 Oktober lalu.

Dalam serbuan oleh Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM bersama Cawangan Penguatkuasaan JKDM Melaka itu, sebanyak 8.8 juta batang rokok berjaya dirampas dengan nilai rampasan berjumlah RM704,000 dan cukai yang dielakkan berjumlah RM5.8 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, kontena itu dikesan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang sebelum dibawa ke Stor Cawangan Penguatkuasaan, JKDM Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mengikrar dagangan sebagai ‘Woven Fabric’ seperti dalam Bil of Lading dan Manifes Import (K4).

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana cubaan mengimport barang-barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bagi kesalahan mengangkut, memindah atau menguruskan apa-apa barang berduti di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 pula mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih RM500,000, mengikut mana-mana amaun yang lebih besar.

Johari berkata, mengikut seksyen sama, penjara dikenakan tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI