PASIR MAS – Pekan Mundok, Selatan Thailand yang terletak bertentangan Kampung Bukit Lata di sini, yang dahulunya meriah dengan pasar minggu pada setiap Jumaat dan Isnin sehingga menjadi lokasi tumpuan rakyat Malaysia kini bertukar sunyi sepi.
Keadaan itu berlaku selepas beberapa pangkalan haram di pinggir Sungai Golok dikawal rapi pihak berkuasa sejak hampir sebulan lalu sehingga tiada lagi kelibat rakyat Malaysia yang berani menyeberang sungai tersebut untuk mengunjungi Mundok.
Pangkalan haram di Kampung Bukit Lata ditutup selepas tular video yang memaparkan ramai orang menyeberang Sungai Golok menaiki bot penambang untuk mengunjungi pasar termurah dan tersohor itu.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Bukit Lata kelmarin mendapati, bot-bot penambang tersadai di jeti dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dilihat sentiasa meronda sempadan di kawasan itu selain mengadakan sekatan jalan raya di lokasi berhampiran.
Pengusaha bot penambang yang dikenali sebagai Pok Jak berkata, sudah hampir sebulan bot tambangnya tidak bergerak kerana pangkalan haram di Kampung Bukit Lata telah ditutup.
“Kebiasaannya, saya memperoleh pendapatan RM200 sehari pada hari Jumaat dan Isnin kerana ramai yang datang untuk membeli-belah di pekan Mundok.
“Sekarang ini, saya langsung tiada pendapatan apabila bot tidak boleh bergerak menyeberang Sungai Golok ke sana (Mundok),” katanya ketika ditemui Kosmo! kelmarin.
Seorang penduduk dikenali Rosnah, 40, pula berkata, dia mengakui penduduk di sekitar kawasan pinggir Sungai Golok sukar untuk membeli barangan keperluan dapur di Mundok sejak pangkalan haram Kampung Bukit Lata ditutup.
Katanya, sebelum ini, pekan Mundok menjadi pilihan penduduk di pinggir Sungai Golok kerana ia dekat dan hanya mengambil masa lima minit untuk menyeberangi sungai itu dengan bot.
“Sebelum ini, ikan, sayur dan beras semua dibeli di Mundok. Kami tidak perlu pergi jauh dan hanya ulang-alik menaiki bot dengan tambang untuk perjalanan RM2 sehala.
“Sekarang kami tidak lagi berani untuk menyeberangi Sungai Golok ke Mundok kerana PGA mengawal ketat kawasan itu setiap hari,” ujarnya.
Pengunjung dari Kota Bharu, Mohd. Firdaus Halim, 30, berkata, dia tetap datang ke pangkalan haram Kampung Bukit Lata kelmarin meskipun mengetahui ia ditutup kerana mahu mencuba nasib untuk menyeberang Sungai Golok.
“Sebelum ini, saya sering menaiki bot menyeberang Sungai Golok ke pekan Mundok. Saya ke sana untuk makan dan membeli pakaian sebelum pulang.
“Kali ini jika mahu ke pekan Mundok, saya perlu mengikut jalan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan,” ujarnya.