fbpx

Dedikasi Anis Athirah dalam kerja sukarelawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIS ATHIRAH (kanan) memberi sumbangan kepada golongan memerlukan.

SEJAK di bangku sekolah lagi, Anis Athirah Mohd. Zailani, 22, telah didedahkan dengan aktiviti kesukarelawanan.

Pada ketika itu, dia terlibat dengan aktiviti pengagihan barang makanan kepada golongan asnaf di sekitar masjid berdekatan dengan sekolahnya di Melaka.

Kini, setelah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia, gadis yang berasal dari Muar, Johor itu semakin aktif dengan aktiviti kesukarelawanan.

Anis Athirah berkata, setelah menjejakkan kaki ke menara gading, peluang untuk aktif dengan aktiviti kesukarelawanan semakin luas setelah dia menyertai Kelab Sukarelawan Siswa (KSS).

Menurutnya, dia memilih untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan kerana sedar betapa pentingnya memberi semula dan berbuat baik sesama manusia.

“Saya juga dapat belajar banyak perkara baharu yang tidak dipelajari di dalam bilik kuliah.

“Aktiviti kesukarelawanan ini membuka mata saya tentang realiti kehidupan dan masalah-masalah sosial yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.

ANIS ATHIRAH

Tambahnya, dia juga seronok kerana dapat berjumpa dengan orang-orang hebat yang mendedikasikan masa dan tenaga mereka untuk membantu orang lain dalam kesusahan.

Antara misi kesukarelawanan pernah disertainya adalah pemberian kotak makanan kepada asnaf sempena Ramadan di Melaka

Selain itu, dia terlibat dengan misi bantuan banjir UKM di sekitar Hulu Langat dan Kuala Selangor yang memfokuskan kepada usaha membersihkan rumah.

Anis Athirah juga terlibat dalam aktiviti Jom Sahur! iaitu satu inisiatif menyantuni gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Anis Athirah berkata, banyak perkara yang dia dapat belajar daripada aktiviti kesukarelawanan seperti memastikan agihan makanan tidak bertindih dengan NGO lain bagi mengelakkan pembaziran.

“Saya juga belajar tentang kepentingan nilai-nilai yang dibawa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Sustainability Development Goals (SDG) bagi semua aktiviti kesukarelawanan,” katanya.

Selain itu, aktiviti kesukarelawanan telah membuka mata Anis Athirah tentang permasalahan sosial, cara menyantuni gelandangan dan faktor sesuatu isu itu berlaku.

Sementara itu, berbicara tentang hal pelajaran, Anis Athirah menjelaskan, dia mengambil ijazah pengurusan perniagaan di UKM.

ANIS ATHIRAH terlibat dalam kerja-kerja membersih kediaman mangsa banjir di Hulu Langat.

Katanya, salah satu faktor terbesar yang mendorongnya mengambil jurusan tersebut adalah keluarga.

Anis Athirah memaklumkan, dia dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang kebanyakannya menjalankan bisnes sebagai punca utama rezeki.

“Saya sering melihat bagaimana ibu saudara saya mengendalikan perniagaannya.

“Saya seronok membantunya berniaga kerana banyak perkara yang dapat dipelajari secara terus.

“Saya juga melihat bagaimana ibu saudara saya menggunakan platform yang ada untuk membantu masyarakat di sekitarnya,” jelasnya.

Tambahnya, ketika di universiti, dia mengambil pengkhususan sumber manusia yang menitikberatkan aset terpenting dalam syarikat iaitu pekerja.

Dia memaklumkan, hubungan sesama manusia dan seni dalam pengurusan emosi sememangnya sukar untuk digantikan dengan teknologi.

Jelasnya, hal ini kerana hubungan sesama manusia dipengaruhi oleh banyak faktor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI