KOTA BHARU – Hasrat 14 buah keluarga untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila mereka terpilih menerusi program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Jaya, Pasir Hor di sini hari ini.
Lebih istimewa, kesemua penerima menerima kunci rumah masing-masing daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Salah seorang penerima rumah berkenaan, Aida Rosmiza Baharudin, 55, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila impiannya sejak hampir 20 tahun untuk memiliki rumah sendiri tercapai.
Dia yang merupakan ibu tunggal berkata, sebelum ini menyewa rumah selama lebih 10 tahun, namun terpaksa keluar dari rumah tersebut disebabkan kekangan kewangan dan tidak mampu membayar sewa.
“Selepas keluar daripada rumah berkenaan, saya bersama anak-anak menumpang di rumah abang selama lapan tahun.
“Sebelum ini, saya merasa agak sedih kerana tidak mempunyai rumah sendiri. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat merasai untuk tinggal di rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci RMR, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Jaya, Pasir Hor di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya yakin mampu melaksanakan 15,000 RMR dalam tempoh 2021 sehingga 2025 seperti yang diperuntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sekurang-kurang pada tahun 2024.
Menurutnya, setakat ini, SPNB telah melaksanakan sebanyak 3,545 unit RMR yang merangkumi 2,558 unit sedang dalam pembinaan dan 987 unit telah siap dibina. – KOSMO! ONLINE