Belanjawan 2021 yang merekodkan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM322.5 bilion yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam banyak menyasarkan kepada golongan rakyat B40.
Pembentangan kali ini dilihat lebih kepada untuk meredakan keresahan rakyat khususnya mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk hilang punca pendapatan kerana dibuang kerja ataupun perniagaan merudum.
Bagaikan mendengar rintihan rakyat, kerajaan menambah baik bantuan tunai secara bersasar kepada keluarga berpendapatan rendah melalui Bantuan Prihatin Rakyat bermula daripada RM500 hingga RM1,800 kepada mereka yang layak.
Individu bujang berusia 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan RM2,500 ke bawah juga menikmati bantuan sebanyak RM350.
Selain itu, seramai 600,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kehilangan pekerjaan akan dibenarkan mengeluarkan caruman mereka melalui akaun 1 sebanyak RM500 setiap bulan selama setahun dengan jumlah maksimum RM6,000 keseluruhan bagi meringankan beban mereka.
Itu belum lagi melibatkan pemberian secara one-off melibatkan kakitangan kerajaan dan petugas barisan hadapan.
Secara keseluruhannya belanjawan kali ini dilihat benar-benar mengkhususkan untuk meringankan beban golongan rakyat yang terjejas, namun kita sebagai rakyat pula perlulah menggunakan setiap bantuan yang disalurkan ini sebaik mungkin supaya ia benar-benar mencapai matlamatnya.
Segala bentuk bantuan yang disalurkan ini sudah tentu tidak akan membawa sebarang erti jika ia disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak bermanfaat.
Sebagai contoh, golongan kehilangan kerja yang mengeluarkan caruman KWSP perlulah seboleh mungkin menggunakan wang itu secara berhemah sebelum mereka mendapat pekerjaan semula.
Atau jika perlu mungkin wang yang dikeluarkan itu boleh dijadikan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan yang sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan secara sampingan walaupun dalam keadaan mereka tiada pekerjaan.
Jika tidak, wang yang seharusnya digunakan untuk bekalan hari tua itu akan habis begitu sahaja dan mereka pula akan terus berada dalam kesempitan sepanjang hidup.
Bagaimanapun, lagi elok, jika kerajaan dapat memikirkan bentuk bantuan yang disalurkan akan membolehkan golongan yang hilang pekerjaan dapat kembali bekerja seperti sebelumnya, manakala aktiviti perniagaan yang merudum dapat kembali pulih.
Pastinya ia akan lebih bermakna berbanding mendapat sejumlah wang untuk kita senyum seketika, dan kembali berduka apabila wang itu habis.
Jika bantuan seperti ini dapat dilakukan, pastinya lebih ramai rakyat akan hidup dalam keadaan lebih makmur serta sejahtera.