GEORGE TOWN – Abang kepada remaja berusia 18 tahun yang maut dalam nahas di Kilometer 301.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan semalam kini terpaksa ditidurkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak dipercayai akibat mengalami pendarahan dalam otak.
Mangsa yang juga pemandu kereta Proton Savvy, Muhammad Danial Haikal Ghazali, 24, adalah seorang guru praktikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul (SMKBJ).
Dalam kemalangan tersebut, adik Muhammad Danial, Muhammad Zweill Haikal, 18, maut di tempat kejadian.
Bapanya yang lebih dikenali dengan panggilan Li berkata, hanya Muhammad Danial Haikal ketika ini ditempatkan di HRPB manakala isterinya juga merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau, Asnoni Othman, 49, menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Menurutnya, dua lagi anaknya iaitu Muhammad Darweiss Haikal, 20 dan Muhammad Uwaiss Ryeqal, 10, turut dimasukkan ke wad hospital sama dengan isterinya.
“Muhammad Danial kini tidurkan manakala isteri sudah sedar diri dan boleh bercakap berbanding semalam. Anak kami, Muhammad Darweiss mengalami patah tangan kanan manakala seorang lagi cedera pada tulang leher.
“Mereka kini berada di wad dan sudah boleh melawat. Jenazah anak keempat selamat dikebumikan di Masjid Jalan Baru, Balik Pulau selepas solat asar petang semalam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Bapa kepada 11 orang anak itu memberitahu lagi, dia tidak sempat bertemu dengan arwah anaknya, Muhammad Zweill termasuk isteri dan tiga anaknya yang lain semasa mereka keluar dari rumah sebelum solat Subuh, Sabtu lalu.
“Saya berada di tempat kerja dan pulang ke rumah kira-kira pukul 7 pagi. Memang tak sempat jumpa mereka.
“Mereka sekeluarga dalam perjalanan menghantar dua beradik iaitu Muhammad Darweiss dan arwah Muhammad Zweill untuk daftar masuk ke Universiti Malaya Kampus Cyberjaya.
“Fikiran saya berkecamuk ketika ini. Sedih la…sebab anak dari kecil bela sampai 18 tahun. Arwah sebelum ini bersekolah di SMK Pondok Upeh,” katanya ringkas.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kereta yang dinaiki terbabit nahas dengan sebuah treler dalam kejadian kira-kira pukul 6.22 pagi.
Mangsa, Muhammad Zweill yang duduk di kerusi penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Nahas dikatakan berlaku apabila kereta dipandu abang mangsa berusia 24 tahun itu dipercayai gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler yang sedang bergerak di lorong sebelah kiri. – KOSMO! ONLINE