PETALING JAYA – Penganjur Konsert 4G’s, Belbis Sdn. Bhd. tidak nampak sebarang kemungkinan untuk meneruskan lagi konsert yang telah tertangguh sejak 2020 selepas empat kali penundaan.
Ketua Eksekutifnya, Fendy Alias, berkata, dalam situasi semasa kini sukar untuk mengumpulkan penyanyi konsert ini iaitu Tomok, Hazama, Black Hanifah dan Akim Ahmad yang mempunyai jadual padat.
“Sebenarnya kita tak nak batalkan konsert ini dulu, tetapi bila dah memasuki ke fasa pandemik, kita turut terkesan.
“Malah hendak mengumpulkan balik keempat-empat penyanyi dalam satu tarikh baharu juga agak sukar sebab mereka ada komitmen masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online.
Fendy mengulas mengenai laporan polis dibuat keempat-empat penyanyi terbabit baru-baru ini yang mendakwa pembeli tiket sudah bertanyakan kembali mengenai konsert berkenaan.
Malah Tomok atau Shah Indrawan yang mewakili rakan lain turut mempersoalkan pemulangan wang tiket seandainya konsert tersebut sah dibatalkan.
Menurut Fendy, laporan polis tersebut tidak ditujukan kepada penganjur, malah pihaknya yang menasihatkan empat penyanyi terbabit mengajukan perkara itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, hal ini kerana Belbis Sdn. Bhd. tidak tahu status hasil jualan tiket menerusi Redtix Sdn. Bhd. berjumlah RM100,000 yang belum dikembalikan kepada syarikatnya sehingga ke hari ini.
“Setakat ini kami belum terima apa-apa bayaran daripada wang hasil penjualan tiket yang bernilai hampir RM100,000 itu.
“Sebelum ini Redtix pernah keluar notis untuk sesiapa yang nak ‘refund’ boleh isi borang, tetapi itu tak berlaku walaupun pembeli telah melakukan seperti diarahkan.
“Kita memang sedia kembalikan duit pembeli, tetapi pihak terbabit sampai sekarang hilang tanpa khabar berita,” katanya yang telah menghantar surat peguam kepada syarikat itu.
Terdahulu, Konsert 4G’s sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 di Istana Budaya, namun ditangguhkan ke 11 dan 12 Disember, tahun sama.
Khamis lalu, Tomok bersama tiga rakannya memohon agar penganjur dapat menyelesaikan masalah membabitkan konsert serta isu pemulangan tiket secepat mungkin.
Tiket untuk konsert tersebut dijual pada kadar RM98, RM248, RM348, RM428 dan RM518 selain RM998 bagi tempat duduk istimewa yang terhad 16 kerusi pada setiap malam persembahan.
Sementara itu, Belbis Sdn. Bhd. pula sebelum ini berpengalaman menganjurkan beberapa konsert mega termasuk Romansa Kris Dayanti dan M Nasir Sang Pecinta.
– KOSMO! ONLINE