PETALING JAYA – French fries atau kentang goreng boleh memudaratkan kesihatan jika diambil dengan kuantiti yang banyak dan kerap.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebooknya, kentang goreng boleh menyumbang kepada penambahan berat badan dan peningkatan risiko obesiti kerana ia tinggi lemak dan kalori.
Selain itu kata PHM, makanan itu juga tinggi kandungan garam dan pengambilan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah, berpotensi membawa kepada masalah jantung.
“Kentang goreng juga membentuk acrylamide yang diklasifikasikan sebagai karsinogen yang berpotensi dan mungkin dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser tertentu jika dimasak pada suhu tinggi.
“Ia juga tidak memberikan sejumlah besar nutrien penting. Bergantung pada kaedah memasak dan bahan tambahan, ia kurang serat, vitamin dan mineral yang penting,” kata PHM.
Mengulas lanjut, PHM berkata, kesan kesihatan kentang goreng boleh berbeza-beza bergantung pada faktor seperti saiz bahagian, kaedah memasak dan pilihan diet keseluruhan.
Bagaimanapun katanya, menikmati kentang goreng sekali-sekala sebagai sebahagian daripada diet seimbang secara amnya boleh diterima.
“Tetapi pengambilan yang kerap dan berlebihan boleh menyumbang kepada masalah kesihatan.
“Untuk menggalakkan kesihatan yang lebih baik, adalah disyorkan untuk memilih kaedah memasak yang lebih sihat (bakar atau guna air fryer),” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE