KUALA SELANGOR – Seramai 13 pelajar perempuan Sekolah Menengah Islam (SMI) Addimyati, Kampung Assam Jawa di sini, terselamat dalam kebakaran melibatkan bangunan asrama sekolah itu, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku ketika para pelajar berusia 13 hingga 17 tahun itu difahamkan sedang tidur.
Turut terselamat adalah seorang warden wanita berusia 21 tahun yang berada di sebuah bilik di bangunan sama.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.30 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan bangunan teres satu tingkat kelas A yang dijadikan asrama sekolah.
“Kebakaran itu melibatkan kemusnahan sebanyak 80 peratus dan berjaya dikawal pukul 5.03 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, bangunan itu turut menempatkan surau, perpustakaan dan bilik kuliah kecil.
Tambah Mohamadul Ehsan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE