GEORGE TOWN – Polis menahan seorang wanita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) selepas dipercayai memuat naik kandungan di media sosial yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penahanan ke atas wanita berusia 32 tahun itu dilakukan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada Selasa lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan daripada orang awam mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam, 7 Jun lalu.
“Kandungan di media sosial itu dipercayai berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung penganugerahan pingat kepada Tan Sri Lim Kit Siang dan mengaitkan figura tersebut sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.
“Suspek telah diberikan jamin polis pada hari yang sama kerana mengadu sedang mengandung enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bahan bukti berupa komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telah diambil daripada suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia oleh USJT Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE