KEMAMAN – Anak bongsu pasangan suami isteri yang maut akibat kemalangan di Kilometer 267.1, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) semalam meninggal dunia sebentar tadi.
Raudhatul Khayra, 3, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kematian kanak-kanak ini disahkan oleh bapa saudara mangsa yang menemaninya di hospital berkenaan.
“Seorang lagi anak mangsa, Muhamad Uwais Wafiuddin, 8, yang cedera di beberapa anggota badan juga sedang menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan Zahidah Hanisah Mohamad, 35, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Paka, Dungun dan suaminya, Mohd. Riduan Mohd Yaacob, 35, maut dalam kemalangan pada pukul 4 petang.
Sewaktu kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Raja, Teluk Pasu, Kuala Terengganu dari Kuantan. – KOSMO! ONLINE