PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri di Seri Perdana, lewat petang hari ini.
Difahamkan, sesi perjumpaan khas tersebut bersempena dengan penganjuran Majlis Ilmu Madani yang bakal diadakan di Dewan Bankuet, di kompleks kediaman rasmi berkenaan.
Program dilakukan secara tertutup itu diadakan selepas tamat Kongres Palestin Sedunia 2023 yang diadakan di sebuah hotel, di sini sejak semalam.
Persidangan antarabangsa itu dianjurkan Barisan Bertindak Keadilan untuk Palestin yang dibentuk hasil gabungan pelbagai badan bukan kerajaan negara ini pada 18 Julai 2021.
Anwar pernah bertemu Ekrima di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini pada 7 November tahun lalu sebelum ulama Baitulmaqdis itu menghadiri sesi dialog di Bangi, Selangor.
Acara sembang santai secara terbuka bersama-sama tokoh tersebut pula dikelolakan oleh pihak MyAqsa Defenders dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Dalam pada itu, program Majlis Ilmu Madani kali kedua berkenaan rentetan kejayaan siri pertama berlangsung di Masjid Putra pada 26 Mei lalu yang dihadiri lebih 18,000 jemaah. – KOSMO! ONLINE