PETALING JAYA – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi konsisten pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia apabila mengesahkan slot ke pusingan final esok.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pasangan juara dunia itu berjaya menjinakkan wakil tuan rumah, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 12-21, 23-21, 21-13.
Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking ketiga dunia diberikan tentangan sengit seawal set pertama sebelum kembali bangkit di set kedua untuk melakar kemenangan 23-21 sekali gus mengheret ke rubber set.
Pada set penentuan, beregu Indonesia yang berada di ranking ke-25 dunia itu berjaya ditumpaskan Aaron-Wooi Yik sebelum melakar kemenangan 21-13 untuk menambah rekod kemenangan kepada 3-1 ke atas lawan mereka itu.
Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Woo Yik akan menentang jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di pentas final yang berlangsung esok.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik masih memburu gelaran pertama pada saingan musim ini selepas pencapaian terbaik mereka adalah ketika muncul naib juara semasa menyertai Terbuka India Januari lalu.
Selain itu, mereka juga belum merangkul sebarang gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) sejak mula digandingkan pada 2017. – KOSMO! ONLINE