ALOR SETAR – Rakyat negeri ini melahirkan kekaguman ke atas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang disifatkan raja berjiwa rakyat dan sangat prihatin.
Menurut Aziz Ali, 45, di sebalik situasi politik negeri Kedah yang adakalanya dilihat tegang itu, rakyat masih menikmati kehidupan yang aman damai dipayungi baginda yang menyambut Hari Keputeraan Ke-81 semalam.
“Kedah ini unik kerana sentiasa menjadi perhatian terutama dalam politiknya, tetapi rakyat tetap hidup aman damai dan kami percaya perkara itu terjadi kerana kebijaksanaan Sultan Kedah yang memayungi negeri ini di takhta.
“Kami rakyat jelata berharap sultan yang berjiwa rakyat ini dipelihara kesihatan oleh Allah SWT,” katanya.
Aziz antara ratusan rakyat negeri ini yang tidak mahu melepaskan peluang berhimpun di Dataran Medan Bandar di sini semalam untuk menyaksikan Istiadat Perbarisan Kehormatan di Dataran Medan Bandar.
Mereka membanjiri dataran itu seawal 8 pagi untuk melihat dengan lebih dekat raja kesayangan ramai itu berangkat ke istiadat tersebut sempena Hari Keputeraan Baginda.
Begitu juga bagi Rosilah Halim, 55, walaupun terpaksa berkerusi roda kerana lumpuh akibat penyakit saraf, dia tidak mahu melepaskan peluang hadir ke acara berkenaan.
“Memang tidak pernah lepaskan peluang sejak zaman sekolah lagi semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
“Sekarang Sultan Sallehuddin, adinda almarhum kami sekeluarga juga tidak mahu melepaskan peluang. Saya bangun pukul 5 pagi untuk bersiap dan ajak suami serta anak untuk bawa ke sini. Alhamdulillah mereka pun suka datang,” ujarnya.
Penjawat awam, Mohd. Yusof Senawi, 55, turut menyifatkan Sultan Sallehuddin sebagai seorang raja yang prihatin walaupun sangat tegas.
“Saya sering keluar masuk Istana Anak Bukit untuk menyediakan landskap di situ. Sultan Kedah ini suka suasana kehijauan dan bunga-bunga. Asalkan cantik di mata baginda suka.
“Selalu bila kami buat kerja di istana baginda akan bertanya kami sudah makan atau tidak dan minta orang menyediakan makanan untuk kami.
“Kalau ada majlis di istana ketika itu, baginda tidak lupa makanan untuk kami juga,” katanya. -KOSMO! ONLINE