fbpx

Kerajaan akan pertimbang pemberian kad diskaun siswa kepada pelajar IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin ketika hadir pada Jelajah RAHMAH & Townhall Menteri Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup bersama Rakyat di Dewan Seri Iskandar UITM Seri Iskandar Perak.-Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

PARIT – Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian kad diskaun i-siswa kepada para pelajar pra-universiti termasuk institusi pengajian tinggi dalam usaha membantu kebajikan golongan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat.

“Ini kerana ia berada di luar bidang kuasa saya tetapi ideanya boleh kita panjangkan dan sebagaimana kita telah buat banyak program-program Rahmah untuk memudahkan mereka mendapatkan makanan di bawah harga RM5.

“Program-program ini diadakan untuk memudahkan mereka mendapatkan makanan di universiti malah ada ‘food bank’ untuk mereka yang memerlukan mendapatkan barangan tertentu secara percuma,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Rahmah dan Townhall Menteri KPDN Bersama Rakyat di Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak di Seri Iskandar di sini hari ini.

Sebelum ini, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2017, dan Kementerian Pengajian Tinggi mula mengedarkan kad secara berperingkat kepada pelajar.

KADS1M ialah kad debit pramuat dengan RM250, berfungsi sebagai kad debit yang boleh digunakan oleh pelajar untuk tujuan pembelajaran manakala sebelum itu para pelajar diberikan baucar buku.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kerajaan bercadang meneruskan Jualan Rahmah di kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara secara bergilir-gilir bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kita boleh mengadakan dalam setiap Parlimen sebanyak dua kali sebulan. Ia sangat memberikan kelegaan kepada rakyat kerana kebanyakan barang-barang mentah seperti ayam bulat kita jual dengan harga yang diberikan subsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI