PETALING JAYA – Isu pakaian ketat adalah kes terpencil dan tidak perlu diperbesarkan, ujar Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Ia kerana penetapan kod pakaian jururawat dalam perkhidmatan awam telah dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, sebaliknya pihaknya berharap lebih banyak isu-isu berkaitan kebajikan serta tekanan kos sara yang dihadapi oleh penjawat awam diketengahkan berbanding masalah-masalah terpencil ini.
Ujarnya, ketika ini jururawat di seluruh negara berhadapan dengan beban tugas yang berat dengan ada dalam kalangan mereka terpaksa bertugas melebih norma waktu disebabkan kekurangan petugas.
“Hal ini perlu menjadi keutamaan semua pihak terutama dalam memastikan kebajikan penjawat awam ini dijaga dan dalam masa yang sama dapat memberikan perkhidmatan terbaik.
“Cuepacs berharap semua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membawa isu yang lebih besar serta memberi manfaat kepada kebajikan penjawat awam dan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan isu pakaian seragam, Adnan berkata, pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah amat sopan dan menutup aurat.
Katanya, rekaan pakaian tersebut juga memudahkan pergerakan jururawat ketika melaksanakan tugas yang sentiasa memerlukan pergerakan fizikal.
“Soal pakaian ketat tersebut adalah lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam.
“Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kepada ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Dalam masa yang sama Cuepacs berharap Kementerian Kesihatan dapat memastikan kualiti kain yang diberikan berkualiti tinggi serta seragam untuk semua negeri,” katanya.
Jelasnya, maklum balas yang diterima Cuepacs menyatakan kualiti kain tidak sama antara petugas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sedangkan mereka daripada kementerian yang sama.
“Hal ini perlu diberikan penekanan yang tegas kepada pembekal yang mendapat kontrak perbekalan. Begitu juga bayaran upah jahitan perlulah dibuat penambahbaikan dengan membuat pembayaran bersekali dengan perbekalan kain,” katanya. – KOSMO! ONLINE