KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor didesak tidak mengganggu lebih 500 peneroka lima buah kampung di mukim Bestari Jaya di sini, yang kini terus berdepan isu pengambilan tanah di kawasan itu.
Gesaan itu berikutan mereka mendakwa kira-kira 120 daripada 1,719 hektar tanah sudah diambil kerajaan negeri sekali gus menjejaskan pendapatan mereka yang menjalankan aktiviti pertanian dan ternakan sejak lebih 50 tahun lalu.
Wakil peneroka itu, Mohd. Fadzil Ibrahim, 70, berkata, kawasan berkenaan diterokai penduduk setempat sejak era 80-an dan menjadi sumber pendapatan utama pendapatan golongan miskin selama tiga generasi.
Kata Ketua Unit Peladang Kampung Rantau Panjang itu, keadaan kini bagaimanapun berubah apabila diambil alih kerajaan negeri sehingga menjejaskan hak mereka sebagai peneroka asal tanah tersebut.
“Kami selama ini hanya bergantung sepenuhnya kepada sumber pertanian dan ternakan namun hak itu kini seolah-olah dinafikan selepas lebih 50 tahun lalu.
“Justeru, kami mendesak kerajaan negeri tidak berterusan mengganggu peneroka sekali gus menabur pasir dan menutup periuk nasi peneroka miskin di kawasan ini,” katanya hari ini.
Terdahulu, lebih 200 peneroka dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyertai program Dialog Bantahan Pengambilan Tanah di Kampung Seri Makmur, di sini. – KOSMO! ONLINE