fbpx

Tujuh tahun pendam rasa ziarah kubur bapa di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Syazwani (kanan) dan Nurul Farhanah mendoakan agar roh bapa mereka dicucuri rahmat di Perkuburan Syaraek, Mekah semalam.

MEKAH – “Kami puas apabila hasrat untuk menziarahi pusara ayah yang meninggal dunia di Mekah sejak tujuh tahun lalu tercapai.”

Itulah yang dirasakan oleh dua beradik, Nurul Syazwani Sajari, 32, dan adiknya, Nurul Farhanah, 29, apabila berpeluang menatap tempat jasad bapa mereka, Sajari Sawi, 56, disemadikan.

Sajari yang merupakan staf Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur meninggal dunia ketika sedang tahiyat akhir solat subuh di Mina. Ketika kejadian, allahyarham menjadi Penolong Pengurus Zon 1 Madinah.

Nurul Syazwani berkata, pemergian arwah akibat serangan jantung telah menyebabkan mereka berduka cita selama setahun apabila kehilangan tonggak keluarga sehinggakan tidak meraikan Aidilfitri dan Aidiladha pada 2016.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila ibu mereka, Faridah Harun, 58, meninggal dunia dua tahun kemudian akibat kanser gusi.

“Berita mengenai kematian bapa diketahui selepas wakil TH menghubungi ibu yang membuatkan dia menangis dan meraung kerana kali terakhir kami bertemu ialah ketika menghantar arwah bapa ke Kompleks TH Kelana Jaya, Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mengimbau semula kejadian itu, Nurul Syazwani berkata, Faridah kemudian menghubunginya yang ketika itu sedang menyiapkan tugasan sarjana dalam bidang mikrobiologi di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.

“Rumah kami sunyi selama setahun sampai ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Kami terasa kehilangannya kerana arwah bapa pandai memasak nasi arab dan hidangan itu dibuat setiap kali perayaan,” katanya.

Ujar Nurul Syazwani, arwah sepatutnya tidak bertugas tahun itu tetapi dia membuat rayuan. Perubahan arwah ialah dia terlalu gembira ketika hendak berangkat tidak seperti sebelumnya yang membuatkan mereka merasakan seperti ada yang tak kena.

Nurul Syazwani berkata, adiknya, Muhammad Syamil, 29, (jurugambar sambilan) memberi laluan kepada mereka pergi ke Tanah Suci untuk menziarahi pusara arwah.

“Ini rezeki yang berat untuk diterima dan ditolak. Kami berbincang siapa yang pergi dan siapa yang tinggal kerana tawaran hanya untuk dua orang sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN