MANCHESTER – Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City mungkin terpaksa melepaskan khidmat ketua pasukannya, Ilkay Gundogan yang masih belum bersedia untuk menadatangani kontrak lanjutan bersama kelab itu.
Gundogan berada di Etihad sejak 2016 dan menjadi antara pemain awal dibawa masuk oleh Pep Guardiola selepas dilantik menjadi pengurus The Citizens dan kini dikaitkan dengan penghijrahan ke Barcelona selepas belum membuat keputusan untuk kekal.
Pemain berusia 32 tahun tersebut dijejaki oleh juara La Liga berkenaan selepas hasrat mereka untuk membawa pulang Lionel Messi tidak kesampaian selain Gundogan mampu dibawa masuk secara percuma apabila berstatus ejen bebas.
Barcelona juga menganggap Gundogan adalah pengganti paling sesuai buat pemain tengah berpengaruh mereka, Sergio Busquet yang bakal meninggalkan pasukan selepas menghabiskan masa 18 tahun di Camp Nou apabila kontraknya berakhir.
Pemain tersebut dilaporkan menerima tawaran lebih baik dari Barcelona berbanding lanjutan perjanjian di Etihad dengan The Catalans sedia memberikan kontrak selama tiga tahun menyebabkan dia hampir pasti beralih angin kali ini.
Bagaimanapun, Barcelona dilaporkan tidak mampu memberikan masa terlalu panjang untuk Gundogan membuat keputusan dan mahukan pengesahan selewat-lewatnya Selasa ini atau mereka perlu mendapatkan pilihan lain.
Gundogan berjaya meledak beberapa gol penting buat City musim ini ketika menentang Leeds, Everton dan Liverpool selain turut membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Piala FA menewaskan jiran mereka, Manchester United menerusi dua gol yang dihasilkan. – AGENSI