fbpx

Hutang judi RM20,000, bapa lari tinggalkan 3 anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEONG KUO (dua dari kanan) sertanya ibunya menunjukkan nota dan senarai akaun keldai yang ditinggalkan adiknya di rumah mereka di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Angkara dijerat hutang pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ahlong keliling pinggang lebih RM20,000, seorang bapa sanggup bertindak meninggalkan tiga anaknya yang masih kecil serta memutuskan hubungan dengan keluarga.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan melarikan diri dari rumah di Taman Ehsan Jaya, di sini pada Ahad lalu dengan meninggalkan tiga helai surat yang ditulis dalam bahasa Mandarin mengatakan dia sekali lagi membuat pinjaman dengan ahlong.

Menurut abangnya, Ng Leong Kuo, 41, dia cuba menghubungi adik bongsunya itu namun gagal berbuat demikian manakala akaun media sosialnya turut dinyahaktifkan.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab adiknya itu dikhuatiri mendatangkan bahaya kepada ibunya, Sin Swee Chang, 62, serta anak saudaranya yang berusia enam, lapan dan 10 tahun yang tinggal di rumah itu.

“Keadaan menjadi lebih parah apabila dia menggunakan kad pengenalan dan nombor telefon ibu untuk membuat pinjaman, malah turut menyerahkan alamat dan bil elektrik rumah keluarga kepada ah long. Sehingga hari ini ibu diganggu ceti haram yang menuntut hutang.

“Bukan sahaja ibu yang dikacau ahlong, malah bekas isteri dan rakannya turut diganggu ahlong yang menuntut pembayaran hutang keseluruhan lebih RM20,000 dalam kadar segera.

“Saya sudah buntu mencari dia di mana lagi, kami sekeluarga berharap dia pulang dan selesaikan masalah yang dicetuskan tanpa membabitkan keselamatan orang lain,” katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Leong Kuo telah membuat laporan polis pada pukul 8.57 malam di Balai Polis Plentong, Seri Alam di sini pada hari sama adiknya melarikan diri dan tidak dapat dihubungi.

Dalam nota yang ditinggalkan, lelaki itu menzahirkan kemaafan kerana telah melarikan diri dari rumah setelah berhutang lagi dengan ahlong selain meminta untuk menyerahkan anaknya kepada bekas isteri sekiranya ibunya sudah tidak mampu menjaga mereka.

Anak bongsu daripada dua beradik itu turut menyenaraikan 27 keldai akaun serta amaun yang perlu dibayar supaya keluarganya dapat menjelaskan bayaran tersebut.

Leong Kuo tidak menolak kemungkinan bahawa adiknya terjebak dengan perjudian atas talian sehingga sanggup meminjam wang daripada ahlong sejak tiga tahun yang lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI