KEMAMAN – Kerisauan seorang lelaki sesuatu buruk mungkin berlaku terhadap rakannya menjadi kenyataan apabila pesara guru tersebut ditemukan mati di rumahnya di Taman Chukai di sini awal pagi tadi.
Mayat Mustafa Abdul Ghani,67, ditemui mati dalam bilik tidurnya oleh anggota polis pada pukul 12 tengah malam dan dipercayai telah meninggal dunia lebih lima hari lalu.
Rakan mangsa, Mohamad Sabrin Hassan, 50, berkata, dia berasa curiga selepas Mustafa gagal dihubungi sejak minggu lalu.
“Biasanya dia akan menjawab setiap panggilan dan mesej. Saya dan seorang rakan lain yang tidak sedap hati telah pergi ke rumahnya untuk menjenguk.
“Sebaik tiba, kami mendapati lampu rumahnya menyala namun pintu rumah berkunci dan dia juga tidak menjawab sahutan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohamad Sabrin berkata, sebelum gagal dihubungi kira-kira seminggu lalu, Mustafa pernah mengaku kurang sihat dan demam. – KOSMO! ONLINE