PETALING JAYA – Seorang pelanggan wanita bukan sahaja menjerit dan mengamuk malah mencampak barang-barang di sebuah butik pakaian, semalam.
Menerusi video tular dimuat naik oleh @1010midvalley, wanita itu membuat kekecohan dengan memusnahkan beberapa barang seperti patung dan tempat gantung baju di kedai terbabit.
Difahamkan kejadian berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, punca sebenar kekecohan tersebut tidak dapat dikenal pasti walaupun beberapa pengguna menterjemah kata-kata wanita itu yang menyatakan dirinya dituduh mencuri.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat 614,400 tontonan, 12,600 tanda suka dan 4,850 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menggesa pihak berwajib untuk menyiasat kejadian tersebut yang dipercayai telah menganggu ketenteraman awam.
“Harap polis siasat dan bertindak segera. Sudah merosakkan harta awam dah ni,” komen Wawa.
“Kenapa tiada siapa pergi tenangkan dia? Semua tengok sahaja. Tenangkanlah dia yang sedang marah tu sebelum habis rosak semua dihumbannya,” komen Zamila.
“Kena bayar balik kerana sebabkan kerosakan. Biar pihak berkuasa siasat selanjutnya,” komen pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE