JELEBU – Dua lelaki maut apabila lori yang dinaiki hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek ketika menuruni Bukit Tangga, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, lori muatan kosong yang dipandu seorang lelaki bersama dua kelindan warga Bangladesh dari arah Seremban menuju Kuala Klawang, Jelebu.
Menurutnya, sebaik tiba di laluan berkenaan, lori yang dipandu hilang kawalan dipercayai masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu warga tempatan berusia 50-an dan seorang kelindan berusia 30-an meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala seorang lagi mangsa yang terselamat telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan.
“Bedah siasat akan dijalankan pada hari ini di Hospital Jelebu. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE