fbpx

4 ekor gajah musnahkan tanaman penduduk ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat ekor gajah yang ditangkap di kawasan kebun getah di Kampung Peralla 1, Tanah Merah pada Rabu lalu.-Foto PERHILITAN

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap empat ekor gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di kebun getah di Kampung Peralla 1, Tanah Merah dekat sini pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, pejabat Perhilitan Jeli menerima aduan melibatkan sekumpulan gajah liar berkeliaran dan merosakkan pokok kelapa sawit pada hari yang sama terus ke lokasi tersebut untuk menjalankan operasi tangkapan.

Menurutnya, tinjauan di Kampung Peralla 1 mendapati, 10 ekor gajah liar bergerak ke kawasan kebun getah.

“Daripada keseluruhan haiwan itu, dua ekor gajah betina berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali. Setiap seekor haiwan itu masing-masing didapati mempunyai seekor anak.

“Gajah liar tersebut terdiri daripada ID Tapis yang mendiami Hutan Simpan Air Satan dan Hutan Simpan Jedok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, kampung-kampung yang sering diceroboh oleh kumpulan gajah liar tersebut antaranya Kampung Peralla 1, Kampung Berdang, Kampung Air Kerla, Kampung Bukit Pauh, Kampung Bukit Durian, Kampung Kelisar dan Kampung Lepan Bola.

Menurutnya, gangguan gajah itu menyebabkan hasil pertanian penduduk seperti kelapa sawit, kelapa, getah dan pisang bernilai RM150,000 telah dimusnahkan oleh haiwan berkenaan.

“Empat ekor gajah liar yang ditangkap itu akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari penempatan manusia. Operasi pemindahan akan dilakukan dalam masa terdekat oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Lanchang, Pahang.

“Diharapkan kejayaan operasi tangkapan gajah itu dapat mengurangkan kerugian hasil pertanian penduduk selain memberi rasa selamat kepada penduduk setempat,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI