IPOH – Kerajaan negeri Perak akan mengagihkan bantuan kepada penduduk Mukim Parit Buntar yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.
Pusat Kawalan Operasi Bencana Covid-19 yang diketuai Pegawai Daerah akan menyelaras tanggungjawab tersebut sepertimana yang diputuskan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya juga akan memastikan keselamatan penduduk diberi keutamaan.
Menurut beliau, pelaksanaan itu nanti akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah sebagai pihak berkuasa bertanggungjawab bersama-sama lain-lain agensi kerajaan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menyumbangkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) termasuk set pelindung muka khusus untuk diagihkan kepada petugas barisan.
“Kita juga mengambil inisiatif untuk menyumbang cecair pencuci tangan dan sabun kepada petugas-petugas barisan hadapan bagi kegunaan ahli keluarga mereka.
“Ini kerana kita mahu ahli keluarga para petugas ini dilindungi selain merasa selamat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Hari Keputeraan Baginda di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim Parit Buntar, Perak berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.
PKPB ini akan melibatkan seramai 45,359 orang penduduk dengan jumlah 7,847 unit rumah bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di mukim ini.
Sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan.-K!ONLINE