SEBERANG PERAI – Menjelang Aidiladha menjadi masa paling sibuk buat tukang besi untuk menyiapkan tempahan pisau yang bakal digunakan untuk menyembelih ternakan korban itu.
Menurut seorang tukang besi yang juga pendakwah bebas, Azhar Hamid, 56, lebih 40 tempahan pisau pelbagai jenis sudah diterima sejak awal tahun, malah permintaan yang semakin meningkat membuatkan beliau tidak menang tangan menyiapkan pisau dipesan pelanggan.
Katanya, beliau mampu menyiapkan tiga bilah pisau setiap hari, namun kebanyakan tempahan yang diterima akan disiapkan setiap hujung minggu.
“Ada banyak jenis pisau yang ditempah pelanggan untuk digunakan bagi memotong serta melapah haiwan korban seperti lembu dan kambing.
“Saiznya, panjang, inci pisau itu juga berbeza, malah bergantung kepada ukuran dan model yang diingini pelanggan.
“Setiap bilah pisau dijual dengan harga RM120 sehingga RM180,” katanya ketika ditemui di bengkel besi miliknya di Pekan Darat, Telok Air Tawar, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga mesra disapa Ustaz Azhar berkata, teknik tradisional diaplikasikan dalam setiap kerja pembuatan pisau, parang dan keris bagi mengekalkan kualiti senjata.
“Lebih 80 peratus proses pembuatan pisau ini dibuat tanpa mesin, malah sepanjang proses pembikinan berlangsung, saya turut mengalunkan zikir dan ayat suci al-Quran di samping memohon kepada Allah SWT supaya urusan dipermudahkan.
“Lebih 44 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini dan kemahiran yang dimiliki hari ini adalah hasil ajaran arwah ayah sejak saya berusia 12 tahun lagi.
“Tahun depan, saya menyasarkan untuk membuat 100 bilah pisau bagi memastikan permintaan pelanggan dari dalam dan luar negeri dapat dipenuhi,” tambahnya.