fbpx

Salahkah wajah biasa-biasa bukan rupawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BENARKAH individu mempu­nyai paras rupa cantik atau tampan akan mendapat perhatian lebih, manakala mereka yang dianggap ‘biasa-biasa’ tidak dapat keistimewaan sedemikian?

Nampak seperti mengarut, namun hakikatnya istilah disebut pretty privilege benar-benar terjadi dalam kalangan mereka yang dikurniakan wajah dianggap bukan kategori ‘rupawan’.

Tidak diberi perhatian, pilih kasih guru atau pensyarah, tidak diajak satu kumpulan, malah kurang diajak bergaul terutama rakan berlainan jantina disebabkan rupa yang ‘kurang menarik’.

Itu antara perkongsian orang ramai khususnya golongan muda di media sosial yang pernah berdepan situasi tersebut, bukan hanya di sekolah atau universiti dan kolej bahkan alam pekerjaan.

Bertambah sedih apabila wujud pula segelintir suka menghina, mentertawa atau memberi pelbagai gelaran tertentu kepada mereka mempunyai rupa paras atau fizikal dianggap tidak mencapai piawaian.

Mereka yang berwajah cantik dan tampan ini juga tidak boleh dipersalahkan. Namun, ada keadaan yang segelintirnya menggunakan kelebihan itu untuk mendapatkan keistimewaan.

Pretty privilege ini juga boleh dilihat dalam kes melibatkan Cameron Herrin yang mana ketika itu dia berusia 18 tahun. Dalam kejadian pada 2018 di Florida, dia berlumba bersama rakannya serta menyebabkan dua kematian.

Mangsa tersebut Jessica Reisinger-Raubenolt dan anaknya, Lillia berusia setahun. Dipendekkan kisah, Cameron mengaku bersalah di mahkamah serta dikenakan hukuman jel 24 tahun.

Kes tersebut tular di media sosial dan disebabkan kerana rupa parasnya yang tampan, ramai peminat mempertahankan dengan alasan, dia masih muda dan hukuman penjara itu berat.

Sudah tentu pretty privilege bukan suatu yang sihat. Apabila seseorang pernah melalui pengalaman dihina fizikalnya terutama di bangku sekolah, kesannya pasti diingati sehingga dewasa.

Bahkan dengan kepantasan media sosial ketika ini, menyebabkan mereka khususnya remaja yang pernah berdepan pengalaman tersebut hilang motivasi diri selain sering merasakan diri serba kekurangan.

Kaunselor perkahwinan dan keluarga, Siti Munirah Mohd. Adnan berkata, pretty privilege ini jika diikutkan tanpa sedar telah berlaku sejak dahulu lagi.

Menurutnya, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mental lebih-lebih lagi remaja kerana mereka mempunyai kecenderungan membuat perban­dingan diri dengan orang lain.

“Jadi apabila dia merasakan dirinya tidak menarik, tidak secantik orang yang dia lihat di media sosial, ia akan membawa kepada masalah imej diri dan keyakinan diri yang rendah sete­rusnya akan membawa kepada isu kesihatan mental.

“Isu kesihatan mental ini se­perti tekanan, contohnya sentiasa rasa tertekan melihat orang yang lebih menarik daripada dirinya. Anxiety atau gelisah mi­salnya apa pandangan orang lain terhadap rupa parasnya, bentuk badannya dan sebagainya.

“Malah, ia boleh menyebabkan ‘depression’ atau kemurungan seperti menjauhkan diri daripada bergaul kerana rasa tidak cantik. Selain itu, gangguan pemakanan seperti anorexia nervosa, contoh sengaja mengehadkan pemakanan sehingga menjadi begitu kurus,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan supaya konsep kecantikan sebenar itu perlu diperbetulkan iaitu cantik itu subjektif, bukan pada ‘standard’ tertentu seperti difahami daripada media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI