KAWASAN tali air yang terdapat di sekitar sawah padi merupakan habitat bagi kebanyakan ikan air tawar khususnya puyu, keli, haruan, sepat dan beberapa spesies lain.
Sebagai seorang kaki pancing, Muhamad Saifudin Gahnehman, 37, tidak pernah melepaskan peluang untuk memburu pelbagai spesies ikan bagi memenuhi kepuasan hobinya itu.
Dia yang tinggal di Kajang, Selangor sanggup memandu kereta sejauh lebih 120 kilometer semata-mata untuk memburu ikan air tawar yang banyak mendiami tali air di kawasan sawah padi di Sekinchan.
Menurut Muhamad Saifudin, antara spesies ikan yang kerap diperoleh setiap kali memancing di situ adalah puyu, atau nama saintifiknya Anabas testudineus.
“Puyu atau dikenali sebagai pepuyu, betok, petik dan karuk di sesetengah tempat memang banyak terdapat di kawasan paya, tali air, parit-parit kecil dan anak sungai.
“Tetapi lokasi yang paling mudah untuk memburu puyu adalah di kawasan tali air sawah padi.
“Disebabkan saya tinggal di Kajang, tidak banyak tempat yang boleh dijadikan ‘port’ memburu ikan puyu.
“Sebab itulah saya sanggup memandu lebih jauh semata-mata untuk memburu puyu yang terdapat di sawah sekitar Sekinchan,” katanya.
Menurutnya lagi, tidak seperti ikan air tawar lain, puyu merupakan spesies yang lasak dan mampu hidup di darat tanpa air untuk tempoh agak lama.
Malah, fizikal puyu yang mempunyai sisik tebal, selain insang berduri juga membuatkannya menjadi antara spesies buruan kaki pancing, sama ada dijadikan hidangan atau ikan peliharaan.
Ia juga dikenali sebagai spesies ikan air tawar yang kerap membuatkan pemancing terluka disebabkan bahagian insang dan siripnya berduri tajam.
Bercerita mengenai teknik pancingan puyu, Muhamad Saifudin berkata, dia akan menggunakan cengkerik atau cacing sebagai umpan.
Katanya, berbeza dengan kaedah memancing ikan air tawar lain yang bersaiz besar, teknik pelampung lebih sesuai digunakan untuk memburu puyu.
“Teknik pelampung memang paling sesuai digunakan untuk memancing puyu kerana ia lebih mudah mengesan sama ada umpan sudah dimakan atau belum.
“Tambahan pula, ia memang teknik tradisi yang sering digunakan untuk memancing ikan terutama spesies bersaiz kecil seperti puyu,” katanya.
Menurut Muhamad Saifudin lagi, joran jenis telescopic paling efektif digunakan dan dipadankan dengan penggunaan mata kail bersaiz kecil.
Jelasnya, disebabkan saiz ikan puyu yang kecil, daya tarikannya tidaklah terlalu kuat berbanding ikan air tawar lain seperti haruan dan keli.
Bercakap mengenai hasil tangkapan pula, Muhamad Saifudin memaklumkan, kebiasaannya dia mampu memperoleh antara satu hingga tiga kilogram, bergantung kepada nasib dan musim.
“Walaupun puyu mempunyai harga pasaran sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram, tetapi saya tidak menjualnya. Saya lebih gemar membuat hidangan,” ujarnya.