OSLO – Jurulatih Norway, Stale Solbakken percaya penyerang, Erling Haaland cergas 100 peratus menjelang aksi Kumpulan A Kelayakan Euro 2024 menentang Scotland di Stadium Ullevaal tengah malam ini.
Beliau mengambil maklum bahawa penyerang Manchester City itu baru sahaja membantu pasukannya memenangi saingan Liga Juara-Juara minggu lalu dan banyak menghabiskan masa meraikan kemenangan tersebut.
Meskipun sebahagian besar pemain-pemain City menyertai parti meraikan kemenangan, namun Solbakken percaya Haaland tidak berdepan sebarang masalah untuk diturunkan bertemu Scotland.
“Saya tidak pasti berapa banyak dia (Haaland) ‘minum’ selepas kemenangan tersebut. Bagaimanapun, saya tahu dia sudah mendapat rehat yang cukup sebelum datang menyertai latihan bersama pasukan.
“Kadang-kadang pasukan perlu benarkan mereka meraikan kemenangan seperti itu kerana bukan mudah untuk melakukannya. Mereka melakar sejarah tersendiri selepas 11 bulan bermain bersama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau akan membuat penilaian terhadap kondisi setiap pemain sebelum mengambil keputusan siapakah yang bakal membarisi kesebelasan utama ketika bertemu Scotland nanti.
“Dia perlu jujur mengenai kondisi badannya sama ada bersedia untuk bermain ataupun tidak. Secara jujur, memang kami ada perancangan untuk turunkan pemain lain kerana Haaland mungkin masih penat dan perlukan rehat,” ujar Solbakken.
– AGENSI