MONTREAL – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton percaya rekod kemenangan Grand Prix (GP) miliknya mampu dipecahkan oleh pelumba Red Bull, Max Verstappen tidak lama lagi.
Hamilton yang hampir menandatangani lanjutan kontrak dengan Mercedes kini meraih 103 kemenangan GP termasuk tujuh kali kemenangan di Kanada.
Meskipun Hamilton berpeluang untuk melebarkan rekod kemenangan Litar Gilles Villeneuve di GP Kanada hujung minggu ini, namun dia mengakui pelumba Belanda berusia 25 tahun itu mampu mengatasi rekodnya.
“Dia mempunyai karier yang sangat panjang untuk ditempuh. Akhirnya ada rekod tersedia untuk dipecahkan.
“Kami perlu bekerja lebih keras untuk memburu kemenangan dan sekurang-kurangnya di penghujung karier saya. Saya harap kami dapat menjalani perlumbaan yang lebih sengit,” kata Hamilton merujuk kepada peluang Verstappen mengatasi rekodnya.
Verstappen boleh meraih kemenangan F1 ke-100 buat Red Bull hujung minggu ini dan menyamai legenda Brazil, Ayrton Senna dengan muncul juara buat kali ke-41.
Juara dunia berganda Belanda itu memenangi lima daripada tujuh perlumbaan musim ini sekali gus melebarkan kedudukannya dalam kedudukan keseluruhan kepada 53 mata dengan mengatasi rakan sepasukan dari Mexico, Sergio Perez, memenangi dua lagi perlumbaan. – AGENSI