fbpx

Syahril pilih tingkatan enam, fokus duduki STAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syahril (tengah) bersyukur apabila menerima banyak tawaran menyambung pengajian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, Bachok, baru-baru ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

BACHOK – Pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, meskipun perlu menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit, memilih untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Maahad Yaakubiah, Kampung Nipah, di sini.

Menurutnya, keputusan untuk menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) itu dilakukan selepas perbincangan dengan seluruh ahli keluarganya.

Katanya, setakat ini, jurusan agama dan Bahasa Arab merupakan antara pilihannya semasa menyambung pengajian di maahad berkenaan.

“Bagaimanapun, segala keputusan masih dalam pertimbangan dan perbincangan ahli keluarga. Buat masa ini, saya mahu menduduki STAM di Maahad Yaakubiah.

“Keputusan tersebut belum muktamad kerana saya tidak menolak kemungkinan untuk menerima mana-mana bidang pengajian yang sesuai. Sebenarnya, belum ada kata putus daripada saya. Sekiranya ada, tidak perlu ia diumumkan kepada khalayak ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, sebentar tadi.

Muhammad Syahril memberitahu, pertimbangan tepat perlu dilakukan memandangkan dia merupakan satu-satunya anak lelaki yang turut menjadi kekuatan dalam keluarga.

Menurutnya, buat masa ini, dia akan kembali ke Maahad Yaakubiah selepas seminggu bercuti menguruskan kematian ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang meninggal dunia pada Sabtu lalu.

“Meskipun menerima 10 tawaran menyambung pengajian, saya tidak mahu hal berkaitan itu kembali tular di media sosial. Biar saya buat keputusan mengenainya selepas ini.

“Buat masa ini, saya perlu memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke luar negara bagi merealisasikan impian untuk bergelar seorang pensyarah suatu masa nanti,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Muhammad Syahril menerima lebih 10 tawaran untuk menyambung pengajian dan biasiswa.

Kisah Muhammad Syahril sebelum ini tular di media sosial selepas pengorbanannya menjaga ibu akhirnya berbalas apabila berjaya memperoleh keputusan 11A dalam SPM, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI