LUMUT – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandu terbabas ke dalam longkang di Batu 7 Lekir, Jalan Sitiawan-Lekir dekat sini, pagi tadi.
Mangsa, Anuar Maarik, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota tubuhnya.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd. Faisal Mohd. Izham, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 pagi.
“Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian yang tidak jauh dari sebuah stesen minyak di situ,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setibanya anggota bomba di lokasi kejadian mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Proton Wira itu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Seri Manjung. – KOSMO! ONLINE